Saturday, 3 September 2016


KUALA LUMPUR - Mufti Kedah akan mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam, sekiranya terdapat gesaan untuk merobohkan replika burung helang di Dataran Lang, Langkawi, lapor Free Malaysia Today (FMT). 

Timbilan Mufti Kedah, Sheikh Marwazi Dziyauddin berkata, hasil perbincangan itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempata (PBT) untuk tindakan lanjut. 

"Kami belum melihat perkara ini, tetapi jika ada (gesaan dikemudikan), kami akan berbincang secara rasmi. Buat masa ini, mufti tak kata apa lagi dan isu ini sudah lama. 

"Pihak kami akan buat perbincangan dengan majlis jawatankuasa fatwa. Di situlah kita lihat apa yang sesuai dan patut untuk dikemukakan kepada PBT," katanya mengulas kenyataan Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim yang mendakwa pembinaan replika seperti itu adalah haram kerana menyerupai bentuk haiwan hidup serta patut dirobohkan. 

Sementara itu, reaksi netizen pula sebaliknya. 

"Tak tahu nak menangis atau ketawa. Di Sarawak pun ada replika kucing, nak robohkan juga ke? Jangan pula pilih kasih. Kalau nak robohkan juga, robohkan sekali Tugu Negara," kata netizen

Replika Helang Di Langkawi Bakal Dirobohkan Kerana Menyerupai Haiwan Hidup?

Friday, 2 September 2016


Pelik sungguh saya dengan Amran. Tadi dia datang ke rumah saya lagi. Kali ini minta pinjam batu cincin pula. Malas cakap banyak, saya terus pinjamkan. Lagipun saya sudah masak sangat dengan perangai Amran itu.

Tak kemana pun dia bawa batu tersebut. Mesti dia bawa batu cincin tadi jumpa bomoh. Untuk apa? Apa lagi, untuk tarik duitlah. Kononnya dengan batu cincin itu sahaja boleh jadi kaya.

Bawa saja barang-barag lama itu jumpa bomoh atau pawang, nanti bomoh akan jampi, baca mantera. Fuh sana fuh sini, lepas tu dapat la duit. Katanya duit itu daripada alam ghaib.

Bukan Amran saja. Ramai lagi rakan saya yang macam tu. Kemaruk nak kaya dengan jalan mudah.

Saya ingat lagi ada sekali tu, seorang kawan bernama Shuib datang jumpa saya. Katanya nak tengok koleksi keris dalam simpanan saya.

Saya pun tunjuklah padanya. Bila ditunjuk, Shuib tenung sebilah keris tu. Lama dia belek keris yang dipanggil keris Picit.

"Elok ni. Boleh buat tarik duit," ujar Shuib.

Tarik duit? Macam mana tu? Bila saya tanya Shuib senyum saja. Katanya "tunggu!"

Seminggu kemudian, Shuib datang jumpa saya semula. Kali ini dia mengajak saya turut serta.

"Kalau ikut, engkau pun dapat bahagian nanti. Lagipun, bomoh kata pemilik keris kena ikut juga, baru benda ni akan jadi," beritahu Shuib serius.

Bersungguh-sungguh dia memujuk supaya saya turut serta.

Selepas fikir masak-masak, saya setuju. Bukan sebab saya nak duit, tapi saya nak tengok dengan mata kepala sendiri. Macamana upacara tarik duit itu dijalankan.

Esoknya, Shuib menghubungi saya memaklumkan, minggu depan saya perlu mengikutnya ke Perak.

Kami akan pergi seramai enam orang. Saya dan Shuib dari Johor, dua dari Kedah dan dua lagi dari Taiping.

Kata Shuib lagi, kami akan berjumpa bomoh yang mampu memindahkan duit dari alam ghaib ke dalam akaun bank milik salah seorang daripada kami.

Pagi sabtu itu, saya menaiki bas dari Johor ke Ipoh. Saya turut membawa Keris Picit tadi. Selepas enam jam dalam bas, saya tiba di Ipoh dan disambut oleh Shuib.

Malam itu sebelum bergerak ke rumah bomoh, Shuib membawa saya berjumpa dengan ahli-ahli lain. Kami berkumpul disebuah kedai makan.

Baru saya tahu rupanya setiap seorang ada tugas masing-masing. Shuib yang bertindak sebagai ketua mahu memastikan semua yang diminta bomoh tersebut dibawa bersama.

"Aina, ada bawa keris?" tanya Shuib.

Saya angguk.

"Mail?" soal Shuib pada lelaki dari Kedah pula.

Lelaki tadi mengangguk dan mengeluarkan sebiji batu berwarna hitam dari beg. Katanya itu batu pelik.

"Hassan, engkau ada bawa barang kau?" tanya Shuib lagi.

Lelaki dari Taiping itu mengangguk dan mengeluarkan sekeping kad ATM bank. Saya lihat ia kad sebuah bank tempatan dan warnanya juga sudah lusuh.

"Nak buat apa kad tu?" saya bertanya pada Shuib.

"Lepas buat nanti, kita cucuk dekat ATM. Bomoh akan pindahkan duit dari alam lain masuk dalam akaun ni," terang Shuib.

Mendengarnya saya tertunduk. Keras perut saya menahan ketawa. Kelakar sungguh. Tak sangka makhluk halus pun ada bank. Hahaha..

Pun begitu, saya ikutkan saja. Saya layankan. Selepas semua cukup, Shuib mengutip setiap seorang dua puluh ringgit. Katanya untuk digunakan sebagai duit pengeras.

Malam itu kami berkereta ke Tambun, lokasi yang dikatakan rumah bomoh tersebut.

Sebaik tiba, saya lihat suasana disitu sungguh meriah. Penuh dengan orang ramai.

Yang datang itu pula semuanya berkopiah putih atas kepala. Tak silap saya lebih 30 orang. Ada datang dari Kedah, Kelantan dan orang sekitar.

Dek kerana itu kami terpaksa menunggu giliran. Sejam lebih menunggu barulah kami dipanggil masuk menghadap bomoh tersebut.

Kami berenam dibawa masuk ke dalam sebuah bilik. Dipenjuru bilik itu duduk bersila seorang bomoh. Usianya saya kira sekitar 50 tahun.

Semua barang-barang tadi diletakkan depan bomoh bersama duit pengeras. Keris yang saya bawa, diambil bomoh tersebut. 

Dia membelek-belek keris itu sambil mulutnya terkumat-kamit. Entah apa dibacanya saya tidak tahu.

Keris itu kemudiannya diletakkan ke lantai. Beberapa saat kemudian, Keris Picit itu mula berdiri dan berpusing-pusing. Waktu itu mata saya terbeliak.

Pertama kali saya melihat keris itu boleh berdiri tegak tanpa sesiapa memegangnya. Selepas setengah jam berdiri dan berpusing-pusing, keris tadi jatuh semula.

"Apa yang saya tengok, kamu semua boleh dapat tiga juta," ujar bomoh dengan muka serius.

Saya yang mendengar kata-kata bomoh tadi macam hendak terkeluar biji mata. Tiga juta?

Kawan-kawan lain pula saya tengok tersengih-sengih. Mungkin tengah berangan akan bergelar jutawan.

"Guna kad bank ni, nanti pergi cucuk selepas seminggu. Ingat, tak boleh cek baki.

"Masukkan kad terus keluarkan seratus tu baru boleh keluarkan semua," pesan bomoh itu tentang syarat-syaratnya.

Kata bomoh itu lagi, jika sesiapa melanggar syarat, duit tersebut akan hilang. Selain itu, sepuluh peratus dari tiga juta perlu diserahkan kepada bomoh tersebut sebagai bahagiannya.

Rakan-rakan lain semua mengangguk. Selepas bersalaman dengan bomoh, kami minta diri.

Malam itu, semasa dalam kereta, kawan-kawan lain asyik ketawa. Pakat bercerita dengan angan-angan masing-masing.

Ada yang nak guna duit tersebut buat rumah baru, nak buat car wash, kedai makan dan macam-macam lagi. Saya pula hanya diam.

"Engkau nak buat apa Aina?" tiba-tiba Shuib bertanya.

"Rahsia," pendek saja jawapan saya.

Sebenarnya saya malas nak melayan. Memang saya tak percaya yang kami akan dapat duit tersebut. Memang tak logik.

Bayangkan, tak perlu kerja tiba-tiba sahaja duit dalam akaun berganda kepada tiga juta?

***

Tiga minggu kemudian, saya terserampak dengan Shuib di pekan. Sudah dapatkah Shuib bahagian dari tiga juta tu?

Tapi kalau tengok daripada segi pakaian, Shuib selekeh saja. Tak bergaya macam orang berduit. Masih berkereta buruk ke sana sini.

"Macam mana, dapat dah duit tu?" tanya saya sebaik menghampiri Shuib.

"Tak jadi la," jawab Shuib. Nampak kecewa.

"Kenapa pula tak jadi?" tanya saya lagi.

"Bomoh kata ada salah seorang daripada kita tak ikhlas. Tamak. Dia nak lebih. Sebab tu tak jadi.

"Tapi tak apa, lepas ni kita cuba lagi," beritahu Shuib tanpa berputus asa.

Mendengar jawapannya. sekali lagi saya tersenyum. Dalam hati ni tak usah cakaplah. Pelik sungguh saya.

Sudah terkena macam tu belum sedar-sedar lagi. Masih percaya pada benda-benda karut begitu. Yang untung, bomoh tersebut. 

Bayangkan seorang dikenakan bayaran RM20. Malam itu saja lebih tiga puluh orang. Itu baru satu malam. Berapa pula jumlahnya kalau tiga puluh malam?

Kemudian, bila tak jadi bomoh tadi laga-lagakan pula. Kata, salah seorang ahli dalam kumpulan tak ikhlas. Tamak. Kah kah kah..

Alasan macam tu siapa pun boleh cakap. Tak payah jadi bomoh!

Sebab tu saya pelik. Orang kita ni mudah sangat percaya benda-benda karut macam ni.

Kalau betullah tarik duit ni boleh kaya, rasanya bomoh tak akan heboh-hebohkan. Lebih baik dia guna kebolehan tu untuk diri sendiri.

Sudah-sudahlah, tarik duit, tukar cek di alam bunian tu mengarut saja. Tak ada orang menjadi kaya di dunia ni dengan kerja mudah.

Kerja sehari untung berjuta. Hahaha..

Nota editor: Saya dalam cerita diatas hanya mahu dikenali sebagai Aina, 33 tahun dan berasal dari Johor. Aina merupakan seorang pengumpul barang-barang lama.

*Artikel ini dipetik dari majalah Mastika Ogos 2016.

Bomoh Tarik Duit RM3 Juta!

Wednesday, 31 August 2016

Gambar Hiasan

Pada tahun 1788, seorang ahli falsafah dan ahli psikologi terkenal Switzerland bernama Charles Bonnet, menceritakan tentang satu kes pelik yang melibatkan seorang wanita.

Menurut Bonnet, wanita itu kerana percaya, dirinya sudah mati, telah berbaring di dalam keranda dengan pakaian yang lazimnya dipakaikan kepada mayat.

Malah, wanita tersebut juga mendesak orang ramai supaya mengebumikannya dan enggan keluar dari keranda walaupun ahli keluarga dan jiran mendesaknya pulang ke rumah dan menjalani kehidupan seperti biasa kerana dia masih hidup.

Selepas beberapa minggu baring di dalam keranda, akhirnya wanita tersebut benar-benar mati, tetapi disebabkan tidak makan dan minum!

Seratus tahun kemudian, pada tahun 1880, seorang neurologis Perancis, Jules Cotard pula melaporkan tentang kelakuan pelik seorang pesakit wanita seperti yang pernah diceritakan oleh Bonnet.

Wanita itu menurut Jules, menafikan kewujudan tuhan dan syaitan. Dunia juga dikatakannya tidak wujud.

Itu tidak pelik lagi, tetapi yang menimbulkan tanda tanya ialah, wanita tersebut turut menafikan kewujudan sebahagian daripada anggota badannya.

Selain itu, wanita berkenaan menafikan perlunya dia makan dan minum.

Keadaan wanita itu bertambah teruk dan menyatakan bahawa dia akan menerima malapetaka sepanjang hayatnya.

Selain itu, dia tidak akan mati secara semulajadi, tetapi akibat sumpahan dan malapetaka yang dahsyat.

Beberapa lagi kes seperti ini ada dilaporkan berlaku dan yang paling diingati adalah yang berlaku pada tahun 1990.

Kes ini melibatkan seorang lelaki di Edinburg, England, yang mengatakan dirinya sudah mati.

Pada Januari 1990, selepas dibenarkan keluar dari hospital, keluarga lelaki berkenaan segera membawanya ke Afrika Selatan untuk mendapatkan rawatan.

Di Afrika Selatan, lelaki itu terus bertegas mengatakan dia sudah mati dan telah dimasukkan ke dalam neraka.

Yang peliknya, semasa berkata demikian, tubuh lelaki tersebut panas bagaikan di dalam api.

Menurut lelaki itu lagi, dia mati akibat penyakit septicaemia atau mungkin juga AIDS atau mungkin juga gara-gara suntikan demam kuning yang diterimanya dahulu!

Selepas mati, lelaki tersebut seterusnya mengatakan, 'roh ibunya telah membawanya berjalan-jalan melihat seluruh isi neraka'.

Banyak lagi sebenarnya kes seperti ini berlaku diseluruh dunia. Mereka mengaku, jiwa, roh dan nyawa mereka tiada lagi. Sudah ghaib meninggalkan jasad.

Ada yang mendakwa tubuh mereka hanyalah sekadar sebuah cengkerang saja atau mereka akan bertukar menjadi seketul batu!

Lebih menakutkan, ada yang mendakwa mereka dapat menghidu bau daging di tubuh mereka yang sedang mereput dan membusuk.

Cacing serta ulat sedang merayap di serata badan, kemudian memakan dan menggigit-gigit tubuh mereka.

Akibatnya, mereka mula melakukan keganasan. Ada yang membunuh diri akibat tidak tahan lagi menderita, serta bagi membuktikan yang mereka memang sudah benar-benar mati!

Yang lain pula merasakan, disebabkan sudah mati, tiada apa yang boleh mencederakan tubuh mereka.

Mereka juga boleh melakukan sesuatu tindakan ganas dan mencederakan diri sendiri kerana sudah mati.

Pelik. Apa sebenarnya yang berlaku kepada mereka ini? Gila? Dirasuk makhluk asing? Atau dikuasai semangat ghaib?

Dalam bidang perubatan jiwa, mereka ini dikatakan menghidap Sindrom Cotard, iaitu sempena nama Jules Cotard, individu pertama yang mula-mula mengetengahkan kes-kes sebegini dan mengkategorikannya secara lebih jelas berdasarkan kajian saintifik.

Sindrom Cotard adalah suatu sindrom yang pelik. Ia berkaitan dengan khayalan palsu penghidapnya yang mengkhayalkan sesuatu yang tidak berlaku, kemudian mereka mempercayainya.

Punca utamanya ialah tekanan perasaan dan selalunya berlaku di kalangan golongan usia pertengahan ke atas.

Sembila puluh peratus daripadanya adalah wanita dan yang peliknya, dari sudut fizikal, mereka sihat walafiat.

Sehinggalah sekarang, Sindrom Cotard masih sukar diubati kerana ia melibatkan jiwa dan mental penghidapnya.

'Aku Sudah Mati Dan Melihat Neraka'

Tuesday, 30 August 2016

“Satu dinar yang engkau belanjakan untuk perang di jalan Allah SWT dan satu dinar yang engkau belanjakan untuk istrimu, yang paling besar pahalanya ialah apa yang engkau berikan kepada istrimu.” (HR. Bukhari Muslim)"
Dari hadis diatas dijelaskan bahwa harta yang diberikan (nafkahkan) kepada keluarganya, lebih utama daripada didermakan harta bendanya untuk perjuangan Islam. Jadi bagaimana sekiranya terdapat isteri yang sering ditinggalkan suaminya dengan alasan dakwah, sedangkan kebajikan anak-anak dan isterinya tidak dijaga dengan baik? Rasulullah SAW memang seorang tokoh pendakwah yang teragung sepanjang zaman, akan tetapi baginda sering memberikan perhatian kepada keperluan dan kebajikan isteri-isteri baginda.
Begitu besar perhatian Rasulullah SAW, terhadap hak-hak kaum wanita, sehinggakan baginda memberitahu kepada kaum lelaki cara yang terbaik untuk memuliakan seorang wanita.
Perlu diketahui oleh para suami bahawa nafkah yang mereka berikan kepada keluarga mereka tidaklah sia-sia di hadapan Allah SWT. Bahkan nafkah itu akan dicatat sebagai amalan sedekahnya, sebagaimana hadit dari Abu Mas’ud Al-Anshari dari Nabi Muhammad SAW, beliau bersabda:
“Apabila seorang muslim memberi nafkah kepada keluarganya dan dia mengharapkan pahala dengannya maka nafkah tadi dianggap sebagai sedekahnya.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Bahkan satu suapan makan yang diberikan oleh seorang suami kepada isterinya dianggap sebagai suatu sedekah. Demikian disabdakan Nabi Muhammad pada shahabat beliau, Sa’ad bin Abi Waqqash:
“Dan apa pun yang engkau nafkahkan maka itu dianggap sebagai sedekah bagimu sampaipun suapan yang engkau berikan ke mulut istrimu.” (HR. Al-Bukhari)
Dalam riwayat Muslim disebutkan:
“Tidaklah engkau menafkahkan satu nafkah yang dengannya engkau mengharap wajah Allah kecuali engkau akan diberi pahala dengannya sampaipun satu suapan yang engkau berikan ke mulut isterimu.”.
MasyaAllah, tidak sanggup bagi baginda Rasulullah SAW untuk menjadikan kaum hawa mangsa dari sikap suami mereka yang tidak bertanggungjawab.
Beruntung sekali bagi seorang isteri yang memiliki suami yang pemurah dan tidak berkira kepada diri mereka. Rasulullah SAW merupakan seorang suami yang paling pemurah kepada isteri-isteri baginda, juga kepada sahabat dan kaum keluarganya. Sikap pemurah Rasulullah SAW menjadikan isteri-isteri baginda semakin mencintai dan menyayangi baginda.

Pahala Yang Paling Besar Seorang Suami Adalah Nafkah Yang Berikan Kepada Isteri Mereka

Dari laman IIUM Confessions - BM
Ini bukan cerita aku, tetapi kenalan aku. Aku gelarkan yang lelaki ini Amir dan yang perempuan itu Mira sebagai nama samaran sahaja. 
Okay, si Amir ini sedang mencari calon isteri sebab umurnya pun sudah mencecah 30 tahun. Selain sukakan budak-budak, Amir juga mempunyai kerjaya yang baik dan masyuk sangat-sangat. Kalau ikutkan, ramai pramugari-pramugari di airpot itu cuba mengorat dia. Tetapi untuk buat isteri, dia mahu mencari perempuan yang bajet muslimah, tak ligat sangat dan yang boleh duduk di rumah saja selepas berkahwin. Duit belanja, shopping dan SPA ke, dia tapau semua. Apa yang penting, isteri duduk di rumah jaga anak dan suami sahaja. 
Kisahnya bermula apabila satu hari dia ternampak seorang gadis ayu menolong ibunya menjual nasi lemak. Jadi, dari situ kalau ada kesempatan, memang dia akan singgah beli nasi lemak dari gadis berkenaan. Oleh kerana dia memakai kereta yang berharga ratusan ribu ringgit, tak adalah susah sangat nak mengayat. Parking depan gerai, bakal mak mertua senyum sampai telinga. 
Selepas 3-4 bulan, Amir dan Mira akhirnya dah bertunang. Serius benar Amir dengan perempuan itu. Untung benar jadi perempuan cantik kan? Mira memang cantik orangnya. 
Tetapi konflik bermula semasa kedua-dua keluarga mereka nak berbincang untuk majlis perkahwinan. Sepatutnya kahwin sebelum bulan puasa kalau tak silap. Oleh kerana kedua-duanya orang Kuala Lumpur, Amir pun cadangkan gabungkan saja majlis kedua-dua belah pihak, jimat sikit dan bolehlah dia buat secara grand di hotel. 
Tetapi bakal mak mertua dan bakal ipar duai tidak bersetuju. Mereka nak buat juga di rumah mereka plus 1 atau 2 lagi kenduri di kampung halaman di sebelah nenek mereka. Iyalah, masa nikah inilah nak tunjuk pada semua orang yang anak dara dia walau belajar tak tinggi sangat tetapi boleh kahwin dengan orang kaya. Bakal menantu fly sana sini, banyak duit, berharta dan segak bergaya pula orangnya. 
Jadi, Amir pun menuruti permintaan mereka. Kemudian, keluarga perempuan itu pun meminta duit untuk buat kenduri semua itu dari Amir sebab mereka tiada duit. 
Eh? Ingatkan ada duit sampai nak buat kenduri 2-3 tempat. Rupa-rupanya nak 'paw' si Ami juga. 
"Boleh, tapi saya bagi dalam berbelas ribu sahaja, selepasnya kena tambah sendiri," kata Amir.

"Eh? Mana cukup camtu? Sekurang-kurangnya kena bagi RM20K-RM30K untuk cover kenduri kendara," jawab pihak belah perempuan. 
Banyak cantik? Sudahlah majlis grand di hotel, Amir juga yang keluarkan duit berpuluh ribu. Bukannya share duit pun. Kau bajet anak kau doktor, lawyer, model atau instafamous ke sampai nak kena keluar dekat RM100,000 untuk kahwin? 
Amir pun tak puas hati sebab dia dah banyak keluarkan duit. Tambahan pula dia baru beli rumah yang harganya cecah jutaan ringgit di Selangor. Punyalah nak bagi anak isteri selesa. Maksudnya, si Mira ini cuci kaki sajalah kalau kahwin dengan dia. Tak perlu susah tolong mak jual nasi lemak dah. 
Akhirnya, tak ada kata putus sebab keluarga Mira nak juga buat kenduri banyak-banyak. Mungkin dia fikir, kalau jemput orang taman atau orang kampung datang hotel, nanti tak ramai yang datang. Jadi, kenalah buat juga di semua tempat agar semua orang boleh datang ke kenduri dan tengok bakal menantu mereka. Punyalah nak show off. 
Maka terbongkarlah cerita-cerita yang sebelum ini, yang mereka meminta duit si Amir untuk buka bisnes. Belum apa-apa, dah minta itu ini. Buruknya perangai? 
Jadi, kedua-dua pihak berkeras dengan keputusan masing-masing. Keluarga Amir kata, buat satu tempat sahaja, tetapi keluarga Mira tetap mahu buat banyak tempat. Akhirnya, keluarga Mira beri Amir tempoh beberapa bulan untuk kumpul duit. 
Dalam tempoh bertenang itu, tiba-tiba AMir membuat keputusan untuk putus tunang. Hambek kau!
"Belum apa-apa dah tunjuk belang. Esok kalau dah kahwin, mahu bengkok aku jadi mesin ATM Mira dan keluarga dia," kata Amir. 
Keluarga Mira cuba memujuk dan berunding kembali tetapi Amir tetap bertegas dengan keputusan untuk putus tunang. Jadi, mungkin sekarang Mira sedang menangis tak berlagu dek kempunan duduk rumah mewah, travel overseas dan bajet princess pergi SPA, shopping LV. Tamak sangat, akhirnya tak dapat apa-apa. Kira okaylah Amir tak kisah pun Mira dan keluarganya siapa berbanding dengan status dia. Alih-alih nak demand lebih pula. 
Moralnya, jangan jadi bodoh. Orang gaji sebulan berpuluh ribu seperti Amir pun takkan tahan. Apatah lagi kau expect kalau gaji RM2,000 - RM3,000 kau nak jadikan sebagai mesin ATM? Lainlah kalau susah senang bersama, tetapi ini semua lelaki yang sediakan. Banyak cantik? 
Tolonglah jangan kahwin kalau pasangan atau keluarga pasangan korang seperti ini. Selepas kahwin, kita perlu simpan duit untuk beli rumah, perbelanjaan sekolah anak dan sebagainya. Kalau asyik kena 'paw', sampai ke tua tak boleh menyimpan. Akhirnya, botak kepala, aset pun tak ada. Macam mana nak bahagia?
Kalau bakal isteri itu bergaji besar, ada pelajaran, tak mengapa. Ini belajar tinggi pun tidak, memang tak membantu menyumbang duitlah. Harap muka saja cantik. 
Jangan jadi bodoh, perempuan di luar memang banyak. Please jangan hadap sangat dengan puak-puak pengikis ini. Tak jadi kahwin tak seteruk mana pun berbanding bercerai bila sudah ada anak. Tolong jadi cerdik seperti Amir. Sekian - IIUM Confessions

'RM20K-RM30K, Mana Cukup Untuk Cover Kenduri?' Belum Apa-Apa Dah Tunjuk Belang...


Hari ini laman Facebook dibanjiri dengan isu status seorang Dai yang menulis surat kepada seorang artis wanita bernama Uqasha. Tak lama dahulu seorang PU menulis kepada Mira Filzah.
Persoalannya, masih relevankah program realiti sebegini jika begini produknya..?
Sebelum itu saya ingin menyatakan bahawa ramai juga mereka yang berkualiti yang dilahirkan daripada program realiti sebegini. Seumpamanya Imam Muda Asyraf dan lain-lain yang tak dapat saya nyatakan di sini.
Secara umumnya program Imam Muda pada saya lebih baik konsepnya berbanding program-program lain kerana ada sesi pengajian bersama mudir, ada program dakwah di lapangan dan lain-lain tanpa menafikan ada produk dari program lain yang bagus.
Di sini saya nyatakan sebab-sebab mengapa saya kurang bersetuju dengan program realiti agama :
1. Realitinya kita harus mengakui selagi mana program-program sebegini masih dikuasai golongan kapitalis yang mensasarkan keuntungan, fokusnya bukan lagi kepada bagaimana menghasilkan pendakwah yang berkualiti, tapi bagaimana mengaut keuntungan semaksima mungkin di samping meningkatkan rating penonton.
Kita mungkin masih ingat akan program Akademi Quran pada suatu ketika dahulu. Program ini sangat bagus namun malangnya terpaksa diberhentikan kerana katanya sudah kurang mendapat sambutan.
2. Cukupkah waktu selama berminggu-minggu itu untuk menghasilkan seorang pendakwah dan asatizah yang berkualiti?
Saya melihat seorang pendakwah itu memerlukan masa yang panjang untuk dibina dan dilatih.
Lihat sahaja program membina pendakwah dan ulama yang diasaskan oleh Syeikh Dudu di Mauritania. Program penuh yang memakan masa hampir 17 tahun demi melahirkan seorang pendakwah yang benar-benar berkualiti.
Bukanlah saya mahu katakan bahawa mereka ini harus mengikuti program 17 tahun ini sebelum berdakwah dan terjun kepada masyarakat, namun saya mahu katakan bahawa seorang pendakwah harus ada persiapan yang cukup dan mapan.
Jika benar waktu latihan program realiti ini cukup, mengapa lahir produk-produk yang bermasalah..?
3. Keberkesanan program ini terhadap penonton perlu dikaji semula. Adakah ada statistik dan kaji selidik dari pihak penganjur untuk mengkaji keberkesanan program ini terhadap penonton?
Ya benar. Hidayah milik Allah. Tapi wajarkah jutaan wang ringgit dihabiskan jika ia diakui gagal membawa perubahan signifikan di luar sana?
4. Apakah yang menjadi kayu ukur kepada kemenangan setiap peserta?
Jika kayu ukurnya adalah siapa yang paling hensem dan cantik, siapa yang paling lunak suaranya, siapa yang paling pandai berjenaka, siapa yang paling hebat pidatonya tanpa mengambil kira ketepatan fakta dan sandaran persembahan, maka ini merupakan satu kepincangan yang jelas.
Sebahagian masyarakat yang tiada keupayaan menganalisis fakta ilmu agama akan menerima bulat-bulat apa yang dikatakan oleh Imam Muda, PU dan Dai atas alasan mereka adalah produk yang dilahirkan oleh program realiti sebegini. Sedangkan setiap perkataan manusia itu terdedah kepada kesilapan kecuali nabi yang maksum.
__________
Kesimpulannya, saya tidak melihat program-program realiti sebegini harus dikuburkan terus. Malah ia boleh diteruskan.
Cuma perlu dikaji semula perlaksanaan dan halatujunya.
Namun jika mafsadahnya ternyata lebih banyak, bukankah lebih baik dihentikan sahaja. Bukankah dakwah itu ada pelbagai pendekatan dan caranya?
Para pendakwahlah yang harus menguasai bidang media sebenarnya. Jika tidak, orang-orang biasa yang hanya mahu berhibur akan menguasainya.
Saya akhiri dengan petikan dari Imam Hasan al-Banna ini,
“Ada pemuda yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka dia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya-foya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.” – Hassan al-Banna, Wahai Pemuda
Saya mengalu-alukan kritikan dan maklum balas jika ada.
Jika ada mana-mana fakta atau bahagian yang tidak tepat dan menyeleweng silakan memberikan teguran.
Moga kita saling berpesan dengan kebaikan dan kesabaran.

Kredit: Usaid Subki

Empat Sebab Mengapa Saya Kurang Bersetuju Dengan Program Realiti Agama

Monday, 29 August 2016


APA yang pasti, Kuala Lumpur makin hampir menjadi kota pelacuran nombor satu dunia tidak lama lagi.

Fakta menceritakannya.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendedahkan, Kuala Lumpur kini berada di ranking kelapan kota pelacuran dunia dengan nisbah 52 orang pelacur bagi setiap 10,000 penduduk.
Secara nisbah juga, Kuala Lumpur di ranking lebih tinggi berbanding Thailand yang kini berada di tangga ke-10 dengan nisbah 45 orang pelacur setiap 10,000 penduduk.
“Kami mengingatkan pihak berkuasa supaya Kuala Lumpur tidak menjadi bandar bandar raya maksiat,” kata Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Mapim melahirkan kekesalan dengan menyifatkan, cukup dengan ribuan bilangan pelacur dari luar negara yang kini membanjiri KL dan bandar-bandar utama dalam negara.
Gesaan Mapim lahir ketika umat Islam melahirkan kebimbangan sekiranya pihak berkuasa Kuala Lumpur, membuka ruang menambah lesen rumah urut sedia ada.
Bukan rahsia, lesen rumah urut disalah guna dengan berfunsgi sebagai tempat pelacuran. Malah, sudah menjadi rahsia terbuka mengenai operasi kumpulan jenayah terancang di sebalik kegiatan rumah urut akan menambahkan masalah yang sedia ada.
Industri pelacuran di Malaysia kini bernilai lebih RM3.6 bilion. Satu angka yang memalukan bagi sebuah negara majoriti Islam dan meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan.
Melihat kepada operasi pusat urut dan pusat hiburan yang bercambah di sekitar KL, bermakna KL berpotensi menjadi pusat pelacuran Asia, jika ruang dan peluang dibuka untuk beroperasi secara berlesen.
“Kami membantah keras Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka semula permohonan lesen baharu rumah urut sekitar ibu kota,” kata Mohd Azmi.
Soalnya, apakah keperluan rumah urut dibiarkan bercambah sedangkan pihak berkuasa gagal melaksanakan penguatkuasaan. Selain pusat urut haram, rumah urut berlesen sedia ada turut cenderung menawar khidmat seksual yang menyalahi undang-undang.
Pihak berkuasa, kata Mohd Azmi, tidak harus hanya memikirkan soal permintaan sedangkan pemantauan dan penguatkuasaan mana-mana pihak yang menyalah guna lesen ternyata gagal dilaksanakan dengan berkesan.
Mapim juga melahirkan rasa khuatir dengan percambahan pusat-pusat urut di kota raya dan bandar-bandar utama di negara ini kerana ia akan membuka peluang untuk kegiatan maksiat dilakukan oleh pihak yang mengambil kesempatan.
Selain mendesak DBKL tidak menambah lesen rumah urut serta melahirkan kekesalan berikutan kegagalan menangani pusat pelacuran haram, Mapim menyindir agar lesen rumah urut yang sedia ada dipantau dan dikawal sebelum memikirkan untuk membuka permohonan lesen baharu yang akhirnya tidak mampu dikawal selia olehpihak berkuasa. – MYNEWSHUB.CC

(VIDEO) WOW !!!! MALAYSIA HUB PELACURAN NO 1 DI DUNIA !!!